May 11, 2012

Takut Terasing

   
Semua orang ingin berubah, I mean changing from bad to good. Saya jamin, berani kerat jari (weehee, gurau je, tak berani pun) semua orang mesti pernah dengar orang cakap "eh aku nak berubah ke arah kebaikan lah." sama ada dari rakan terdekat mahupun diri sendiri yang sentiasa bermonolog dalaman. Ya, sebab fitrah kita manusia yang sukakan kebaikan dan kesucian, kerana asal usul kita pun dari Syurga, tempat paling suci.

Saya rasa kita semua perlu sedar bahawa kita semua memang sedang berubah pun. 

"eh yeke..? alamak, i ollz tak sedar lah."

Ya, kita perlu sedia maklum yang dunia pun sedang berubah. Cuma yang lainnya, dunia berubah menentang fitrah kita. Kemaksiatan makin bertambah, jenayah juga begitu. Jelas sekali bilamana maksiat tidak lagi asing, yang ingin membuat kebaikan lebih takut kepada pembuat kejahatan.

Maka, apabila seseorang ingin mengambil keputusan untuk berubah ke arah kebaikan, mereka merasa kerdil dan belum bersedia. Ini kerana mereka rasakan jalan yang bakal mereka lalui berlawanan dengan jalan yang dunia sedang lalui. Senang cerita, jalan kebaikan dan jalan dunia hari ini tidak di lorong 'one way'.

Ketakutan untuk berubah kearah kebaikan ini hanya terjadi kepada mereka yang takut menjadi asing, hanya terjadi kepada mereka yang hidup kerana dunia. 

Saya juga pernah menjadi 'mereka' di atas. Hidup terlalu untuk dunia, tidak ingin menjadi asing di dalam dunia yang rata-rata tidak mengamalkan islam sebagai cara hidup (c'mon la, tak hot la kan pakai cakap macam ustazah ni kan). Tetapi hati jelas menyatakan, "aku bukan di lorong yang betul". Hidup memang enjoy tetapi seperti ada yang tidak kena. Kenapa..? 왜.? 왜..? Kerana kita hidup menentang fitrah. Seperti takut dengan bayang-bayang sendiri.

Kalau berubah ikut fitrah itu asing di dunia sekarang, percayalah Allah bersama-sama dengan kita yang asing ini, kerana yang menciptakan fitrah kita itu kan Allah, bukan dunia.


Daripada Abu Hurairah r.a., "Islam mula tersebar dalam keadaan asing. Dan ia akan kembali dagang asing. Maka berbahagialah (beruntunglah) orang yang bersama Islam ketika ianya asing”. 
[HR Muslim]



Kepada yang selalu mengajukan soalan kepada saya, "macam mana nak dapat kekuatan untuk berubah.?". Jawapan saya senang sahaja, cari Allah. Berubah Lillahi ta'ala, kerana Allah kerana Dia lah sumber kekuatan kita. Bilamana kita rasakan dunia sedang mengejek kita kerana berlawanan arus dalam lorong 'one way' nya, muhasabah diri, tanya pada hati, kita hidup untuk Allah atau untuk dunia.? 

Saya ulang sekali lagi ayat saya di atas, 
"Saya rasa kita semua perlu sedar bahawa kita semua memang sedang berubah."

Persoalannya,

"Adakah kita sendiri yang sedang mengubah diri atau kita hanya menjadi mangsa perubahan.?"

(noktah)


  

Dec 3, 2011

Dahan yang kuat

   
"Kenapa ana tengok lately ni status ukhti macam di luar kebiasaan sikit.?", Hana memulakan pertanyaan. Cuba mengorek apa sebenarnya yang bermain di fikiran rakan sekolah menengahnya itu. Hana bagai dapat menghidu, Umairah seperti sedang bertarung dengan sesuatu. Rakan baik lah katakan..

"Di luar kebiasaan macam mana tu Hana.? Tak ada apa-apa lah.", Umairah masih bermain kata-kata.

"Entahlah, ana pun tak tahu tapi ada rasa lain sikit lah, bukan macam biasa. (smiley). Apa-apa pun jaga diri ya.?"

Pada mulanya Umairah jual mahal, mengelak untuk membicarakan pertarungan hatinya. Mengharapkan Hana untuk berusaha mengorek tetapi apabila melihat Hana mengakhiri ayatnya begitu, Umairah tidak mahu melepaskan peluang ini untuk mengurangkan sedikit beban yang tertanggung di hati. Dia yakin, rakannya itu pasti dapat membantu, seperti kebiasaan.

"Nampak macam ana ada problem ke.?". 

Hana tersenyum, berjaya juga rupanya dia buat-buat tidak endah.

"Takde la nampak macam ada problem pun. Kalau ada problem pun, harap-harap tak seberat mana ujian Dia. Semoga ukhti sabar dan redha dengan semuanya. Ada apa-apa ana boleh tolong.?", Hana bertanya dengan rendah dirinya. Baginya, kalau tidak berjaya selesaikan masalah sekalipun, at least dapat menjadi pendengar.

"Betul.. betul.. Ana takde masalah pun. Hehe..", Umairah mula membuka mulut.

"..just macam kadang-kadang teguran orang tu buat ana down. Sebaliknya ana perlu bangkit, bukan down. Ana tahu tu tapi kadang-kadang susah."

"Selagi usaha kita tu betul, mungkin tak sedap di mata manusia, tapi dekat Tuhan, mungkin itu yang lagi Dia redha. InshaAllah.. You're expecting this kan.?", cubaan Hana untuk menyelami perasaan rakan baiknya itu.

"Ada yang cakap ana share pom pang pom pang tapi diri sendiri pun tak betul, belajar tak habis tapi dah nak tunjuk pandai. Salah ke ana apa yang ana buat ni ukhti.? Ana tahu ana banyak lagi kekurangan diri, tapi ana harap dengan share apa yang perlu tu lah ana dapat belajar perbaiki diri."

Belum sempat Hana menyampuk, Umairah terus menyambung.

"Ana tahu ana jahil sangat, betul-betul belajar konsep sebenar islam pun baru setahun jagung. Memang masih banyak yang ana tak tahu. Ana perlukan teguran yang dapat memotivasikan diri untuk terus thabat. Tetapi kadang-kadang 'nasihat-nasihat' tu buat ana takut untuk berdakwah. Buat ana rasa tak layak..."

"Ana faham apa yang ukhti rasa. Mereka tak tahu apa yang telah kita lalui. Kebanyakan mereka menilai apa yang mereka nampak pada hari ini. Mengharapkan kesempurnaan. Be positive, mereka hanya inginkan yang terbaik untuk kita cuma mungkin mereka lupa untuk bermain kata-kata. Ini adalah proses yang perlu dilalui orang yang sedang 'transform' macam kita. Jangan biar teguran itu berjaya mematahkan semangat kita, sentiasa perbaiki diri. Layak tak layak, tu hak Allah. Yang penting usaha.", Hana cuba mencelah. Memahami apa yang rakannya perkatakan. Sangat memahami, kerana dia juga pernah merasakan yang sama. Dan yang paling penting, yang mententeramkan dia adalah Umairah sendiri. Kelakar tetapi itulah realitinya. 

Hana meyambung lagi, "Ukhti tahu tak, ukhti pernah post something, that gives me a very deep meaning.? Infact, it clarifies everything. Here.."

'Apalah sangat pandangan orang jika hendak dibandingkan dengan pandangan Allah?'

Cukup dengan ayat itu untuk membuatkan Umairah bersemangat kembali. Ya, ALLAH.

Walaupun Hana cuma mengulang kembali kata-kata yang pernah Umairah kongsi dengannya, itu sudah cukup bermakna buat Umairah. Kita manusia, kekadang kita kuat, kekadang kita lemah. Kekadang kita ingat, kekadang kita lupa.

Sebab itu kita perlukan rakan yang selalu mengingatkan, yang selalu memberi kita semangat dan dorongan. Kita semua masih belajar, masih membentuk diri. Perlukan sokongan yang kuat untuk berpaut, kata-kata semangat menjadi pendorong. Memerlukan rakan yang bagai dahan yang kuat, untuk kita terus tegar berpaut. Bukan dahan yang rapuh..

Ukhuwwah Fillah. PEACE ^^
   
  

Nov 30, 2011

Untuk apa ujian ini..?

   
Setelah terbangun dari lena yang panjang penangan panadol dan musim sejuk di sini, saya merajinkan diri membalas messages dan emails yang sudah lama terperuk di inbox. Email yang bertarikh 15 nov 2011, baru sempat saya buka tadi. Saya tidak mengenali pemilik email, sepertimana beliau tidak mengenali saya. Mungkin email saya beliau dapat dari page blog facebook saya. Beliau memperkenalkan diri. 

"Oh, pangkat kakak", bisik hati saya. 

Email yang separa panjang itu saya baca. Beginilah saya mengreply nya. Saja ingin berkongsi, mungkin juga menjadi panduan untuk mereka yang mengalami dilema yang sama..

**************************************************************************

Salam akak. Maaf saya sangat sibuk kebelakangan ini. Ni baru berkesempatan check email. Maaf buat akak tunggu lama. Berbesar hati akak percayakan saya untuk menceritakan masalah, maaf juga jika saya tidak dapat membantu sepertimana yang akak harapkan. Tapi saya akan cuba sedaya upaya, dengan izin Allah.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.."
[2:286]

Ini janji Allah, sebagai orang islam, kita wajib meyakini janji Allah. Apa yang akak hadapi adalah ujian daripadaNya. Untuk apa ujian itu.? Sebab Allah tak sayang akak.? Tak.! Sebab Allah sayang akak. Allah nak buat akak lebih kuat. Allah tak uji orang yang Dia tak sayang. Kalau Allah tak sayang akak, Dia akan biarkan je akak, tak hiraukan akak. Dan Allah yakin akak boleh hadapi ujian ni. Cuma Dia nak tengok setakat mana kesanggupan akak untuk terima ujian ni. Adakah akak akan salahkan Dia..? 

Farah yakin, dengan ujian ni, buat akak lebih dekat dengan Allah kan.? Manusia memang macam tu, macam saya, bila susah baru ingat Allah. Tapi memang tu kelemahan kita. Sebab tu Allah datangkan ujian, tanda Dia sayang kita, supaya kita lebih dekat kepadaNya.

Solat, puasa, keluarkan zakat dan buat benda-benda wajib tu bukan tanda kita muslim yang baik. Tu kewajipan kita. Tanda kita muslim yang baik adalah apabila kita dekat denganNya. Meredhakan setiap yang telah Dia tetapkan. Yakin dengan janjiNya.

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
[2:216]

Setiap ujian yang Dia datangkan adalah untuk buat akak lebih dekat denganNya. Tapi tu terpulang pada cara kita terima ujian tu. Kalau kita redha, inshaAllah kita akan lebih dekat denganNya tapi kalau kita mengeluh dan tak dapat terima ujian tu, jadilah sebaliknya. Kita akan menyalahkan takdir, kita rasa hilang percaya kepada Allah dan lebih terpengaruh kepada hasutan syaitan untuk buat kita makin jauh denganNya. Nauzubillah..

Akak seorang yang kuat.! Saya percaya. Kalau tak, masakan Allah bagi akak ujian macam ni. Dan akak berhak untuk dapat orang yang lebih baik daripada cinta-cinta akak sebelum ni..! Ambil ibrah (pengajaran) dari semua yang dah berlaku tu. Setiap orang ada cerita mereka tersendiri.

Akak dah terima ujian yang kuat sebelum kahwin. Nanti bila dah kahwin, datang ujian-ujian lagi, akak tak heran dah, kacang je nak hadapi sebab akak pernah hadapi ujian yang lebih kuat.

Saya sangat berpegang teguh kepada dua ayat di atas. Panduan hidup saya. InshaAllah. Sangat membantu apabila ujian-ujian saya datang.

Meredhakan, sangat membantu untuk membuatkan
hari-hari kita sentiasa cerah :)

Oh, akak minta doa kan.? Ada satu doa untuk menghapuskan sesuatu yang ingin dilupakan dalam hati.

Akak letak tangan atas dada, baca surah ar-Ra'd ayat 39,

“Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada sisiNya ada 'Ibu segala suratan'.” 
[13:39]

Lepas habis baca, genggam tangan dan buat macam campak jauh2. Letakkan sepenuh keyakinan kepada Allah, inshaAllah, akak akan dapat melupakannya secara perlahan-lahan.

Luka memang pedih. Tapi sedalam mana pun luka tu, pasti terubat. Ada parut.? Kan banyak je yang jual ubat parut sekarang. Sorry sarcastic sikit. Tapi yakinlah,

“Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."
[94:5-6]

*****************************************************************************
Begitulah saya akhiri email saya. Masih menunggu reply dari kakak itu... Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menempuh hari-hari yang mendatang.
















오늘이 지나고 또 언제까지라도 
우리 사랑 영원하길 기도하고 있어요..


  
  

Nov 23, 2011

Tamakninah..

Solat.. Solat.. Solat.. 

Tahukah kita rukun-rukun solat.? Of course lah, rakan-rakan saya di sini semuanya hebat-hebat belaka kan. Yang ingin saya kongsi di sini bukanlah berkenaan rukun-rukun solat tetapi berkenaan salah satu rukun solat yang sering di abaikan.

Oleh kerana zaman sekarang semuanya mengamalkan konsep 'fast and furious', solat kita pun tidak ketinggalan mengamalkannya. Solat bagai dikejar hantu (eh macam pernah je lak kan.?)

Ayuh kita scan balik rukun-rukun solat. Salah satunya adalah tamakninah. Tamakninahhh.!!! Satu rukun yang sering diabaikan. Semua tahu kan, tanpa salah satu rukun solat, solat kita tidak sah.? (soal diterima atau tidak itu Allahua'lam)

Jadi hari ini, jom kita tambah sedikit pengetahuan tentang tamakninah (yang saya dapat dari majalah solusi #23).

************************************************************************************

Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat memandu sebuah kenderaan, waktu di persimpangan hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah.

Rukun yang WAJIB disertakan tamakninah

1. Rukuk: Sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama rata dan kedua-dua belah tangan memegang kepala lutut, hentikan pergerakan seketika. Barangkali sempat membaca 'subhanAllah'.

2. Iktidal (bangun daripada rukuk): Pergerakan daripada rukuk terus menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti berdiri sebelum ini. 

3. Sujud: Sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tapak tangan, dua lutut, dua kaki, satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang pergerakan seketika.

4. Duduk antara dua sujud: Sewaktu duduk sambil membaca doanya, tidak harus bergerak anggota kadar.

Tempat yang sering diabaikan tamakninah

1. Iktidal. Terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus, dia telah turun untuk sujud. (tambahan: *juga kepada jemaah lelaki yang suka menggoyangkan tangan sesudah takbir bangun dari rukuk dan mengangkat sedikit seluar sebelum sujud juga perlu peka kepada tamakninah). Solat ini tidak sah kerana tidak tamakninah.

2. Sujud. Waktu sujud kedua-dua kakinya bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna dan tidak tamakninah maka solatnya tidak sah.

3. Bangun daripada sujud. Waktu bangun dari sujud, ketika hendak berdiri tegak ke rakaat seterusnya tidak ada tamakninah tetapi disunatkan duduk sebentar yang diberi nama duduk istirahat.

*****************************************************************************************

Itulah sedikit sebanyak yang saya ingin kongsikan hari ini (actually dah lama nak share tapi asyik malas je nak menaip. huhu..). Jika ada kesilapan, betulkan saya. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu juga datang dari Allah tetapi melalui kelemahan diri saya sendiri. Wallahua'lam :)

   
  

Oct 22, 2011

Bakal suami..


Bila bercakap tentang cinta, saya selalu berundur satu langkah ke belakang. farah yang 'up to date' (lebih extreme suatu ketika dahulu) sangat kolot bila berbicara tentang CINTA.

saya akui, pandangan saya sebagai seorang remaja yang hidup di era ini tentang cinta memang jauh ketinggalan. saya masih kukuh dan kuat memegang prinsip 'bercinta selepas kahwin'.

saya sangat gemar bersosial. dari dahulu sehingga sekarang cuma mungkin sekarang saya lebih berjaga-jaga dalam batas pergaulan. tetapi soal hati, saya asingkan.

tidak pantas untuk saya katakan saya tiada keinginan untuk dicintai dan mencintai. saya juga berani jamin, tiada orang yang tiada perasaan 'ingin bercinta' begitu kerana lumrah kita manusia, dicipta bernafsu dan berperasaan. kita bukan malaikat. tetapi biarlah perasaan itu disalurkan dengan betul dan halal.

saya petik kata-kata ini, 
"While chemistry and attraction are no doubt important, character precedes them both. A famous quote follows, “Chemistry ignites the fire, but character keeps it burning.” The idea of falling “in love” should never be the sole reason for marrying someone; it is very easy to confuse infatuation and lust for love."

apabila kita berkenan atau dirisik oleh seseorang, kita perlu tahu tentang sikap atau karakter dirinya. sebab itulah Rasulullah saw sendiri menyuruh kita bertaaruf. sebelum itu, kita juga perlu buat check-list tentang karakter yang bagaimana kita mahukan (ingat, kita berkahwin dengan manusia, bukan malaikat). jika ciri-ciri itu ada pada dirinya, zasss.. "yes i do" jelah.

tetapi awas, sebelum membuat apa-apa keputusan besar dalam hidup kita, istikarahlah kepada Allah terlebih dahulu. pohon kepadaNya supaya keputusan yang bakal diambil adalah petunjuk dariNya, bukan atas hawa nafsu mahupun bisikan syaitan. jika benar 'dia' untuk kita, jangan berhenti untuk memohon supaya Allah permudahkan jalan itu. inshaAllah, dia maha Mendengar.

saya juga sangat percaya yang keserasian sangat mudah dicapai apabila kita di bawah redha  Allah. proses mengenali juga lebih mudah, cepat dan telus selepas diijab qabulkan kerana kita berdua sudah berada di landasan yang betul. proses mengenali (orang muda-mudi cakap 'mencari keserasian') sebelum berkahwin lebih menjurus kepada bisikan syaitan.

jika baru bercinta dihasutnya supaya 'lebih mengenali', nak suruh buat maksiat lettew. jika sudah buat keputusan untuk berkahwin, dihasutnya supaya timbul salah faham, nak halang kita 'saling mengenali' secara halal lettew. syaitan sangat benci melihat anak adam berumah tangga kerana periuk nasi utama mereka akan 'basi'.

timbul pula soalan "kalau tak mengenali, macam mana nak tahu serasi ke tak?". tanya pula pada diri sendiri, "nak kahwin kerana apa? suka-suka? nafsu? sebab orang lain kahwin jadi saya pun kena kahwin? atau kerana Allah?". jika jawapannya adalah kerana Allah, inshaAllah rasa tanggungjawab dalam diri itu akan menserasikan kita. sekali lagi perlu diingat, character dan chemistry, dua perkara yang berbeza.

bagi saya suami adalah segala-galanya selepas Allah dan Rasul saw. tidak utuh saya bazirkan cinta kepada lelaki lain kalau akhirnya nanti yang bakal sehidup semati, besusah bersenang dengan saya adalah suami saya? yang lebih berat, wajarkah saya memberi sedikit cinta saya kepada lelaki lain sedangkan yang akan menanggung dosa saya nanti adalah suami saya?

jadi slogan untuk hari ini,

"kami tidak akan ucapkan perkataan 'cinta' kepada mana-mana lelaki ajnabi kerana.. kami simpan perkataan itu untuk diucapkan kepada bakal suami kami."

*ok slogan tu macam kartun. haha.. jazakum Allah khayr kerana sudi membaca ^^



  

Sep 26, 2011

Dunia vs Akhirat

   
Bonda selalu pesan,



Kalau Lili kejar dunia Lili akan jumpa...











Kalau Lili kejar akhirat Lili akan jumpa...









 
...masih tidak faham.








 



Sehinggalah suatu hari Lili menyertai satu pertandingan lumba lari.
Barulah Lili faham.
Kenapa.?

Kerana,
Dunia berada di hadapan akhirat.











"Kalau kita kejar akhirat..kita pasti akan dapat dunia..tapi kalau kita kejar dunia kita takkan dapat akhirat."
[Ustaz Ismail Kamus]

Sep 8, 2011

Tahajjud Cinta. part3

Labbaika Allahumma Labbaik..

HambaMu datang menyahut panggilanMu, Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu.. Sebak dadaku.  Aku lihat keagungan kotak hitam itu di hadapan ku. Kecilnya aku berada di hadapan Baitul Allah. Bukan fizikalnya, tetapi kemuliaannya. Berasa tidak layak benar mejejakkan kaki ke tanah suci, inikan pula berdiri di sini. Hilang segala rasa tinggi diri kononnya aku lah manusia gah, yang tinggal hanya rasa kehinaan, manusia yang penuh kesengsaraan, hidup dalam kemaksiatan..

 Labbaik La Shareeka Laka Labbaik..

HambaMu datang menyahut panggilanMu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagiMu, hamba datang menyahut panggilanMu.. Retak hatiku. Hidupku penuh dengan hal yang menyekutukanMu, menyalahkan takdirMu, takut kepada yang selainMu. Tetapi, Engkau masih memperelok jalanku yang berliku itu untuk menerima hidayahMu. Besarnya kasihMu kepada kekasihMu ya Rahman. Agungnya sayangMu kepada kesayanganMu ya Rahim..

Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka..

Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.. Luka jiwaku. Segala pujian dan nikmat tidak aku pulangkan kepadaMu. Mengkerajaankan diri sendiri. Sombong dengan kelebihan yang diberi, pujian yang diterima, harta yang dimiliki. Lupa aku bahawa semua itu milikMu, pemberianMu, nikmatMu. Hidupku ini adalah atas ihsanMu. Bila Kau berkata kun, maka kun lah ia iaitu bila Kau berkata hilang, maka hilanglah segala nikmat yang aku miliki ini. Ya Rabbana, peliharalah diriku dari menjadi seorang yang kufur akan nikmatMu. Beribu sesalanku.



"Ya Allah, rindunya.. 보고싶다.. ㅠㅠ"


 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...